BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Rabu, 16 Mac 2011

Nukilan yang keempat puluh

Nukilan ini berkisarkan istilah yang tidak difahami. Pada suatu hari, saya sedang makan di meja makan sementara kawan saya hendak membancuh teh. Ketika kawan saya itu hendak mengambil gula, dia berkata "gula kita hendak balik ke kedai".

Komen:
Berkenaan ayat yang telah saya nyatakan di atas, maknanya tersirat. Pada mulanya saya tidak memahami akan ayat yang dinyatakan. Kemudian apabila saya bertanya kepada kawan saya akan ayat tersebut, barulah saya faham bahawa gula tersebut telah habis dan perlu dibeli gula yang baru di kedai. Sebab itulah kawan saya menggunakan ayat "gula kita hendak balik ke kedai". 

Nukilan yang ketiga puluh sembilan

Hari ini saya pergi ke kelas Ketrampilan Menulis sambil meredah hujan. Saya kebasahan kerana tidak membawa payung. Saya terpaksa meredah hujan kerana hari ini saya ada pembentangan kerja kursus. Ketika sampai di kelas, kumpulan pertama telah memulakan pembentangan. Saya mendengar pembentangan tersebut sambil membaca isi-isi yang ditayangkan di skrin. Kebetulan pada waktu itu, seorang pelajar berbangsa Cina membuat pembentangan. Pelajar tersebut bercerita tentang sasterawan negara. Tiba-tiba pelajar lain tergelak. Rupa-rupanya pelajar Cina tersebut tersilap cakap. Dia berkata: "Tokoh ini telah terlibat dalam bidang penulisan selama dua puluh lebih tahun". 
 
 Komen:
Jika diperhatikan, ayat yang telah saya petik di atas mengandungi kesalahan bahasa iaitu, susunan ayat yang terbalik. Ayat terbalik yang saya maksudkan ialah, dua puluh lebih tahun. Pada pandangan saya, pelajar Cina tersebut mungkin tidak berapa fasih berbahasa Melayu. Jadi, itulah sebabnya dia bercakap terbalik dan tidak tersusun.

Nukilan yang ketiga puluh lapan

Kali ini saya ingin bercerita tentang nama nam kampung. Saya terdengar di Terengganu ada sebuah kampung yang bernama Kampunh Tok Imam Lapar. Kampung tersebut berada di Manir, Terengganu. Saya ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kampung tersebut. Sehinggalah pada satu malam, saya mencari kampung tersebut di internet. Apa yang saya jumpa ialah papan tanda yang tertulis nama kampung tersebut. Ejaan dalam bahasa Melayu betul, tetapi ejaan dalam bahasa Jawi salah. Perkataan yang salah ejaannya ialah 'imam'. Tetapi tulisan Jawi yang ditulis ialah 'iman'.

Komen:
Pada pandangan saya, kesalahan ejaan tersebut mungkin disebabkan oleh kekurangan pengetahuan dalam tulisan Jawi. Jadi apabila menulis, sudah pasti berlaku kesalahan ejaan kerana bunyi antara 'imam' dan 'iman' hampir sama dan yang membezakannya ialah huruf 'mim' dan 'nun'.    


Nukilan yang ketiga puluh tujuh

Nukilan yang saya garapkan kali ini berkisarkan lirik lagu. Lagu tersebut sebenarnya sudah lama, tetapi sekarang saya masih mendengarnya. Mungkin kerana lagu tersebut bagus. Lagu yang saya maksudkan ialah lagu  Relaku Pujuk  nyanyian Tam Spider. Ketika saya sedang menyiapkan kerja kursus, saya mendengar lagu bagi menghilangkan rasa mengantuk. Tetapi, apabila saya mendengar lagu yang dinyanyikan oleh Spider itu, saya sempat menangkap baris ayat yang pada fikiran saya tidak sesuai. Ayat tersebut berbunyi:
Tiada lafaz yang lebih agung
Kalimah cintamu yang kutunggu-tunggu

Komen:
Saya bukan mahu komen berkenaan lagu tersebut bagus atau tidak. Bagi saya lagu tersebut bagus, cuma baris-baris ayat yang saya nyatakan di atas kurang sesuai dimasukkan. Hal ini demikian kerana, dalam islam lafaz yang lebih agung ialah 'Lailiahaillallah'. Sedangkan dalam lirik tersebut, lafaz yang lebih agung ialah kalimah ucapan cinta daripada seorang wanita. Pada pandangan saya, penulis lagu perlulah mengkaji dahulu sebelum menulis lirik-lirik lagu kerana ada sesetengahnya tidak sesuai. 

Isnin, 14 Mac 2011

Nukilan yang ketiga puluh enam

Nukilan kali ini menceritakan tabiat masyarakat Melayu. Ceritanya bermula ketika saya sedang mengikuti kelas Falsafah Karya Agung yang diajar oleh Profesor Emiratus Abdullah Hassan. Pada hari tersebut, professor tidak memberi kuliah, sebaliknya pelajar membentangkan hasil kerja mereka. Kumpulan pelajar terbabit membentang tajuk Hikayat Sulalatus Salatin. Ketika membentang, pelbagai kesalahan bahasa telah ditegur oleh profesor dan perkataan yang paling susah untuk ditinggalkan ialah 'OK'.

Komen:
Pada pandangan saya, perkataan 'OK' tersebut berasal daripada perkataan bahasa Inggeris iaitu 'okay'. Manakala dalam bahasa Melayu pula bermasuk 'baik'. Perkataan 'OK' itu memang susah untuk ditinggalkan kerana sudah biasa menyebutnya sehari-hari dan mungkin juga mudah untuk dituturkan. Tetapi sebenarnya, dalam bahasa Melayu, penggunaan perkataan tersebut dianggap tidak sesuai dalam situasi formal. Jadi untuk membuang perkataan tersebut, ia mengambil masa yang lama untuk ditinggalkan dan digantikan dengan 'baik'.    

Sabtu, 12 Mac 2011

Nukilan yang ketiga puluh lima


Nukilan kali ini berkenaan ayat tunggang terbalik. Ceritanya bermula ketika saya sedang bersembang dengan kawan saya di perhentian bas kampus. Ketika sibuk bercerita, tiba-tiba seorang lelaki lalu di hadapan kami. Kawan saya berkata:
Wah!bidang dia dada

Komen:
Sewaktu mendengar ayat yang dinyatakan oleh kawan saya itu, saya berasa pelik. Saya senyap seketika. Selepas itu barulah saya perasan ayat tersebut sebenarnya terbalik. Saya ketawa dengan kuat sehingga orang di sebelah saya pandang-pandang. Sebenarnya kawan saya ingin katakana bahawa wah! Dada dia bidang.    

Nukilan yang ketiga puluh empat

Kali ini saya ingin ceritakan tentang ayam. Ayam yang saya maksudkan ialah Kelantan fried Chicklen (KFC). Saya beranggapan semua pelajar UPSI tahu tentang penjual ayam itu. Penjual ayam tersebut selalu berniaga jika kolej-kolej mengadakan karnival. Saya salah seorang pelanggan yang setia kerana saya suka ayam goreng itu. Perkara yang saya ingin tegaskan sebenarnya ialah tentang kain rentang KFC itu. Pada kain rentang tersebut tertulis:
AWAS!
ANDA SEDANG BERADA DI GERAI
RAJA AYAM GORENG MALAYSIA
Kelantan Fried Chicklen

Komen:
Pada pandangan saya, ayat tersebut maksud asalnya menyuruh kita berhati-hati dan berjaga-jaga kerana dibimbangi berlaku perkara yang tidak diingini. Tetapi dalam konteks ini, penjual tersebut ingin menarik perhatian pelanggan supaya singgah di gerainya.