BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Isnin, 28 Februari 2011

Nukilan yang kedua puluh enam

Saya menulis nukilan ini ketika sedang membaca surat khabar lama. Saya membelek surat khabar lama tersebut kerana hendak dijadikan alas pinggan di atas sinki. Ketika saya sedang membelek, saya terlihat satu tajuk berita pada surat khabar tersebut. Tajuk tersebut berbunyi:
USAHAWAN BORONG WANITA

Komen:
Pada pandangan saya, ayat tersebut salah. Hal ini demikian kerana, jika kita perhatikan ayat tersebut, ia membawa maksud lain. Ayat itu bermaksud terdapat uasahawan yang memborong wanita. Jadi, ayat yang betul ialah WANITA USAHAWAN BORONG.       

Ahad, 27 Februari 2011

Nukilan yang dua puluh lima

Saya tergerak hati mahu tulis nukilan ini ketika saya pergi ke pekan Tanjung Malim. Saya pergi ke pekan adalah untuk menemani kawan saya yang mahu pergi beli buku rujukan. Sewaktu sampai di jalan yang menghala ke KFC, saya ternampak papan tanda yang salah ejaannya. Kesalahan ejaan tersebut ialah:
*LALUAN MOTORSIKAL.

Komen:
Pada pandangan saya, ejaan tersebut sememangnya salah. Ejaan yang sebenarnya ialah 'laluan motosikal'. Kesalahan tersebut boleh menyebabkan orang ramai keliru dan sekiranya ada pelancong yang datang, sudah tentu akan menyebabkan mereka pandang sinis terhadap Malaysia terutama masyarakat Indonesia yang serumpun bahasanya dengan Malaysia.    

Khamis, 24 Februari 2011

Nukilan yang kedua puluh empat

Nukilan kali ini berkenaan kesalahan ejaan. Perkara tersebut saya lihat pada folio sebuah syarikat kraf. Saya mendapat folio tersebut ketika saya dan kawan-kawan menjalankan penyelidikan di pusat tersebut untuk mengkaji golongan kelainan upaya seperti yang berkerja di syarikat kraf itu. Pada bahagian hadapan folio syarikat tersebut, terdapat kesalahan ejaan iaitu, PROFAIL SYARIKAT.

Komen:
Ejaan 'profail' tersebut salah. Hal ini demikian kerana, ejaannya yang sebenar ialah 'profil'. Pada pandangan saya, saya beranggapan bahawa kesalahan ejaan tersebut disebabkan pengaruh bahasa Inggeris. Pengaruhnya ialah daripada segi sebutan perkataan itu. Jadi, ramai yang keliru dengan ejaannya yang sebenar dalam bahasa Melayu.   

Rabu, 23 Februari 2011

Nukilan yang kedua puluh tiga


Ketika ini tergerak lagi hati ini ingin mencoret nukilan yang berikutnya. Nukilan kali ini berkenaan kempen. Situasinya ialah ketika saya berlegar-legar di ruangan bawah Perpustakaan Tuanku Bainun. Ketika itu saya ingin membeli air minuman di koperasi perpustakaan. Semasa menuju ke koperasi tersebut, saya terbaca iklan kempen yang ditampal di dinding. Ayat iklan tersebut berbunyi:
Jom Pi Surau..

Komen:
Di UPSI sememangnya banyak melakukan kempen-kempen. Antaranya ialah kempen yang telah saya nyatakan di atas. Kempen tersebut mengajak orang ramai supaya pergi ke surau untuk menunaikan solat berjemaah. Ayat kempen tersebut menggunakan bahasa yang santai kerana ingin mengambil hati orang ramai. Mungkin bahasa tersebut dianggap mesra dan orang ramai akan berminat untuk mengikutinya.  

Selasa, 22 Februari 2011

Nukilan yang kedua puluh dua


Nukilan yang saya garapkan kali ini berkenaan dengan pengaruh bahasa Indonesia. Perkara tersebut berlaku ketika saya dalam perjalanan menuju ke kedai makan. Semasa dalam perjalanan tersebut, saya bertembung dengan dua orang budak perempuan dan mereka kelihatan rancak berbual. Saya tidak pasti perkara apa yang dibualkan tetapi, saya dapat mendengar salah seorang daripadanya bercakap menggunakan bahasa Indonesia. Ayat tersebut berbunyi:
Wadus capek bangat sih…

Komen:
Berdasarkan ayat yang telah saya nyatakan itu, dapat dilihat terdapat perkataan daripada bahasa Indonesia iaitu, 'capek, bangat dan sih'. Bagaimana perkara tersebut boleh berlaku? Pada pendapat saya, tidak lain tidak bukan ialah pengaruh televisyen. Saya berkata sedemikian kerana, saya perhatikan sekarang semakin banyak filem-filem dan drama-drama Indonesia yang ditayangkan di televisyen. Jadi, sudah tentu mempengaruhi pemikiran, perbuatan dan percakapan masyarakat Malaysia yang menontonnya.  

Isnin, 21 Februari 2011

nukilan yang kedua puluh satu


Nukilan ini saya lakarkan ketika terlihat botol air minuman berkarbonat di dalam kereta kawan saya. Ketika itu saya menumpang kereta kawan saya untuk ke kelas ketrampilan penulis dan pada masa itulah saya terpandang botol air tersebut. Saya pegang botol air tersebut dan membelek-beleknya. Tiba-tiba saya melihat jenis perisa air tersebut dieja dengan salah. Ejaan tersebut ialah air berkarbonat perisa Stroberi.

Komen:
Pandangan saya berkenaan ejaan tersebut salah. Sudah terang lagi nyata ejaan tersebut memang salah. Jika difikirkan balik, pihak syarikat air minuman tersebut sedar akan kesalahan ejaan itu, tetapi mereka sengaja membuat ejaan sedemikian sebagai salah satu taknik pemasaran dan menarik perhatian pelanggan. 

Jumaat, 18 Februari 2011

Nukilan yang kedua puluh

Pada hari ini, saya tulis nukilan ini selepas pulang daripada rumah kawan saya yang tinggal di Bahtera Teres, Taman Bahtera. Situasi yang ingin saya ceritakan adalah berkenaan rakan serumahnya. Ketika saya sedang bersembang bersama kawan-kawan serumahnya, saya sempat menangkap ayat yang disebut oleh salah seorang daripada kami yang pada hari tersebut dia puasa ganti. Ayatnya berbunyi:
Letihya puasa hari ini. Sabar Ana sabar. Dua jam lagi nak berbuka

Komen:
Ayat yang telah saya nyatakan tersebut mungkin kelihatan biasa. Tetapi jika dipehatikan, ia mempunyai maksud yang berlainan. Ayat sabar Ana sabar tersebut merupakan ayat yang Ana sendiri nyakatan. Maksudnya di sini, Ana cuba memujuk dirinya sendiri supaya sabar, semangat dan kuatkan hati sehingga waktu berbuka puasa.           

Khamis, 17 Februari 2011

Nukilan yang kesembilan belas

Nukilan yang saya coretkan kali ini berkenaan ayat yang diutarakan oleh seorang Profesor sewaktu saya berjumpanya di dalam bilik di Fakulti Bahasa dan Komunkasi. Ketika sedang berbincang tentang pelbagai isu, banyak pandangan dank omen yang diujarkan oleh professor tersebut. Ayatnya yang menjadi perhatian saya ialah:
Nampak macam bodoh, bila cakap sah bodoh.

Komen:
Pada mulanya memang saya tergelak mendengar ayat tersebut. Tetapi bila saya tafsir semula maksud ayat tersebut, ia mempunyai maksud yang dalam dan bagi saya ayat tersebut betul. Kita sebagai manusia yang diberikan akal fikiran yang waras mesti berusaha untuk menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa, dan Negara supaya tidak dianggap bodoh. Sebaliknya, walaupun kita kelihatan macam orang bodoh, tetapi percakapan kita haruslah mencerminkan diri kita yang berkaliber supaya orang yang mendengar tidak menyangka bahawa itu ialah diri kita.

Rabu, 16 Februari 2011

Nukilan yang kelapan belas

Tergeraknya hati saya ntuk menulis nukilan ini ketika saya berada di dalam bas UPSI menuju ke kelas di Proton City. Oleh sebab Proton City agak jauh daripada Kolej Harun Aminurrashid, saya terdengar macam-macam perbualan pelajar yang turut menaiki bas tersebut. Antara perbualan yang paling saya ingat ialah:
Min, kau ikut skali aku pi KL. Bukannya selalu pun. Sekali dua kala je.

Komen:
Berdasarkan ayat yang telah yang nyatakan di atas, saya beranggapan bahawa frasa sekali dua kala tersebut adalah berasal daripada kata ganda iaitu, sekali-sekala. Tetepi, generasi sekarang suka menokok tambah perkataan yang tidak sepatutnya sehingga lari daripada makna asal. Mungkin juga sekali dua kala tersebut bermaksud lebih daripada sekali ataupun kerap.     

Selasa, 15 Februari 2011

Nukilan yang ketujuh belas


Nukilan ini berkenaan martabat bahasa Melayu. Saya tulis nukilan ini apabila saya terpandang papan tanda di Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI. Ketika itu saya sedang mencari buku rujukan Semantik untuk menyiapkan tugasan. Sebelumnya, saya telah mencari buku itu dalam laman web opec perpustakaan. Setelah mengenalpasti kod, aras, dan nombor rak buku tersebut, saya mula mencarinya. Ketika itulah saya terpandang papan tanda yang tertulis MALAY LANGUAGES.

Komen:
Pada pandangan saya, perkataan bahasa Inggereis tersebut sepatutnya dibuat dalam bahasa Melayu kerana ruangan tersebut memang rujukan untuk bahasa Melayu. Alasan saya berkata sedemikan kerana, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan kita sebagai penuturnya perlulah menyokong dan memartabatkan bahasa Melayu. Jika tidak kita yang memartabatkannya, siapa lagi? Saya sedia maklum bahawa perkara tesebut memang merupakan sistem yang digunakan oleh perpustakaan itu. Namun, bagi saya adalah tidak salah jika kita menukarkan perkataan MALAY LANGUAGES kepada BAHASA MELAYU.

Isnin, 14 Februari 2011

Nukilan yang keenam belas


Nukilan kali ini saya tulis kerana saya anggap perkara tersebut agak biadap. Peristiwa ini berlaku ketika saya berada dalam bilik di Kolej Harun Aminurrashid. Pada masa tersebut, saya baru sahaja mahu melelapkan mata setelah penat di siang hari. Ketika dalam keadaan mengantuk campur letih tersebut, saya terdengar kawan sebilik saya bercakap dengan emaknya melalui telifon. Pada mulanya saya buat memperdulikan perbualan dia dengan emaknya. Tetapi, saya terdengar dia menyebut perkataan 'aku'. Ayatnya berbunyi:
Alah mak, aku takde pape la.

Komen:
Pada pandangan saya, perkataan aku yang digunakan oleh kawan sebilik saya ketika bercakap dengan emaknya sangat tidak sopan. Hal ini demikian kerana seorang anak perlu menggunakan bahasa yang halus dan santun ketika berkomunikasi dengan ibu bapa. Bagi saya, dia perlu mengubah perkataan 'aku' kepada 'saya'. 

Ahad, 13 Februari 2011

Nukilan yang kelima belas


Nukilan ini saya petik daripada filem arahan Ahmad Idham. Filem yang saya maksudkan ialah Hantu Mak Limah Balik Rumah. Semasa saya sedang menonton filem seram komedi tersebut, saya dapat menangkap ada kesalahan bahasa yang digunakan oleh pelakon yang memegang watak Pak Abu atau nama sebenarnya ialah Zami Ismail. Ayat pak Abu tersebut berbunyi:
Kita perlu selesaikan segera masalah di kampung kita dan mengsetelkan masalah hantu Kak Limah ini.

Komen:
Dalam ayat yang telah saya nyatakan di atas, saya dapati kesalahan bahasa iaitu perkataan mengsetelkan. Perkataan setel berasal daripada perkataan Inggeris iaitu settle, dan dalam bahasa Inggeris tidak ada imbuhan meng…kan. Jadi penggunaan perkataan mengsetelkan tersebut salah kerana perkataan itu dianggap bahasa rojak.

Sabtu, 12 Februari 2011

Nukilan yang keempat belas

Nukilan kali ini berkenaan dengan memo yang ditampal pada papan kenyataan. Situasi ini berlaku ketika saya sedang menunggu lif untuk turun membeli makanan di Kolej Harun Aminurrashid. Ketika sedang menunggu lif berhenti, saya membaca memo yang ditampal pada papan kenyataan yang berada di hadapan lif. Terdapat memo yang ditampal oleh Biro Sukan dan Rekeasi Kolej Harun Aminurrashid. Memo tersebut berkenaan sukan yang akan diadakan di Stadium Proton City. Sukan yang dianjurkan ialah Kejohanan Olahraga tertutup UPSI ataupun KEJORA.

Komen:
Pada pendapat saya, memo tersebut tiada apa-apa yang memelikkan. Namun, ada satu perkara yang saya perasan ialah penggunaan akronim. Akronim yang saya maksudkan ialah KEJORA ataupun Kejohanan Olahraga. Bagi saya, penggunaan akronim tersebut sangat sesuai dan memudahkan penyebutan kerana tidak perlu disebut penuh. 

Jumaat, 11 Februari 2011

Nukilan yang ketiga belas

Nukilan yang saya mahu ceritakan ini berkenaan dengan gelagat penjual di karnival terbuka Kolej Ungku Omar yang diadakan pada 10 Februari hingga 13 Februari. Saya dan kawan saya pergi jalan-jalan di karnival tersebut untuk mencari makanan. Ketika saya sedang meronda dan melihat gerai-gerai, saya terpandang sebuah gerai yang menjual air. Penggerai tersebut hanya menjual air yang biasa sahaja. Tetapi, perkara yang menarik ialah, air tersebut diberi nama sempena nama artis dan pemain bola sepak. Antara nama air tersebut ialah:

*Nescafe K. Raja Gobal
*Bandung Ana Rafali
*Jagung Khairul Fahmi Che Mat
*Laici susu Luna Maya

Komen:
Bagi saya, penggerai tersebut menamakan air tersebut dengan menggunakan nama artis dan pemain bola sepak kerana ingin mencipta kelainan walaupun air yang dijualnya hanyalah air biasa sahaja. Penggerai tersebut sengaja mengguna nama-nama artis dan pemain bola sepak kerana mereka sedang terkenal dan mempunyai ramai peminat. Dengan demikian, penggerai tersebut dapat menarik perhatiann pelanggan supaya membeli air yang ada digerainya.
  



Khamis, 10 Februari 2011

Nukilan yang kedua belas


Nukilan kali ini berkenaan pergaduhan. Pergaduhan tersebut saya lihat ketika saya dan keluarga sedang berada di dalam kereta menuju ke hospital untuk menziarah pak cik yang sakit. Ketika itu musim cuti tahun baru Cina. Jadi jalan sesak dengan kenderaan dan perjalanan untuk ke destinasi mengambil masa yang sangat lama. Sebelum ini jika saya ke hospital, perjalanannya hanya setengah jam namun, pada hari tersebut perjalanan saya mengambil masa tiga jam. Setelah berasa letih berada kedudukan posisi yang sama, saya mengalihkan kedudukan menghala ke luar tingkap. Ketika itu saya dapat melihat sebuah kereta Persona melanggar kereta Wira dari arah belakang. Pemandu kereta wira dan persona tersebut keluar dan saya melihat mereka berbincang tetapi dalam keadaan marah dan menengking antara satu sama lain. Antara ayat yang saya dapat dengar dengan jelas ialah:
Ahhh, peduli apa aku! Pergi mampuslah kau.

Komen:
Berdasarkan situasi dan ayat yang telah saya nyatakan, di sini dapat saya rumuskan bahawa perkataan 'mampus' yang digunakan oleh salah seorang pemandu tersebut adalah merupakan perkataan yang dianggap kasar dalam masyarakat Melayu. Hal ini demikian kerana, dalam bahasa Melayu sendiri pakar-pakar bahasa telah menukarkan perkataan-perkataan yang dianggap kasar kepada perkataan yang lebih halus. Perkara tersebut dinamakan Eufemisme.    

Rabu, 9 Februari 2011

Nukilan yang kesebelas


Nukilan ini saya tulis ketika menonton televisyen. Pada mulanya saya sedang menonton drama kegemaran saya iaitu sinetron Cinta dan Anugerah. Sedang asyik menonton, tiba-tiba terdapat berita ringkas berkenaan protes di Mesir pada bahagian bawah televisyen dan saya sempat membacanya. Tetapi saya dapati ada terdapat sedikit kesalahan ejaan iaitu:
Semua pelajar Malaysia berada dalam keadaan selamat dan berada dalam kumpulan yang besar. Bekalan makanan mengcukupi.
Komen:
Dalam ayat yang telah saya nyatakan di atas, tedapat kesalahan ejaan. Perkataan yang salah dieja ialah 'mengcukupi'. Ejaan yang sepatutnya ialah 'mencukupi'. Di sini terdapat kesalahan dalam pemilihan penggunaan imbuhan meN. Alomorf yang sepatutnya digunakan ialah 'Men' bukan 'Meng'.

Selasa, 8 Februari 2011

Nukilan yang kesepuluh


Nukilan kali ini berkenaan dengan peristiwa ketika saya dan kawan-kawan sedang menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah sewaktu berada di dalam kelas. Saya menjadi pencatat, manakala kawan-kawan yang lain berbincang dan memberitahu jawapan dan idea. Ketika saya sedang menulis, ada seorang daripada kawan saya menegur. Teguran tersebut berbunyi:
Sarah, tulisan kamu ni cakar ayam betul. Tulislah kemas-kemas. Nanti susah pensyarah hendak baca.

Komen:
Berdasarkan teguran yang telah kawan saya nyatakan itu, saya dapat mengesan terdapat unsur simpulan bahasa iaitu, 'cakar ayam'. Biasanya jarang orang menggunakan simpulan bahasa ketika bertutur dalam kehidupan seharian mereka. Namun, kawan saya ada memasukkan unsur simpulan bahasa dalam percakapannya walaupun tujuannya adalah untuk menyindir, tetapi masih berlapik dan tidak menyebabkan si pendengar terasa hati.  

Isnin, 7 Februari 2011

Nukilan yang kesembilan

Kali ini nukilan saya berkenaan dengan situasi di mana ketika saya berada di kampung. Pada suatu hari, saya pergi ke rumah saudara saya untuk menolongnya membuat persiapan perkahwinan. Sedang asyik saya megupas bawang, ada seorang mak cik memberitahu kami sesuatu dengan ayat yang berbunyi:
      
Aduh, dah dua hari aku selsema hidung ni!

Komen:
Berdasarkan ayat yang telah mak cik tersebut ungkapkan, ayat itu didapati terdapat kesalahan bahasa. Hal ini demikian kerana 'selsema hidung' merupakan unsur lewah. Dalam erti kata lain, apabila menyebut selsema ia tidak perlu lagi menyebut hidung kerana semua sudah sedia maklum bahawa selsema mesti berlaku di hidung. Jadi disini, dengan menyebut selsema sudah memadai.