BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Rabu, 26 Januari 2011

Nukilan yang Kelapan

Nukilan ini berkenaan dengan kesalahan ejaan ataupun istilah yang digunakan. Ceritanya bermula semasa saya dan kawan-kawan dalam perjalanan menuju ke kampus dengan menaiki kereta. Ketika itu, jalan sesak dan di hadapan kereta saya terdapat sebuah lori yang bertayar 16. Pada bahagian belakang lori itu tertulis ayat yang berbunyi seperti:
Awas, Mautan panjang!
Awas, Barang panjang!

Komen:
Pernyataan ayat terdapat pada lori tersebut salah dari segi ejaannya. Hal ini sudah tentu akan mendatangkan kekeliruan kepada pengguna jalan raya yang lain dalam memahami perkataan tersebut. Satu lagi, pasti segelintir pengguna jalan raya mempunyai tanggapan yang negatif seperti ayat 'Awas, barang panjang!'. Jadi, setiap pemilik kendaraan seperti lori tersebut haruslah mengambil berat akan kesalahan bahasa tersebut supaya tidak menimbulkan kekeliruan masyarakat.  

Selasa, 25 Januari 2011

Nukilan yang ketujuh


Nukilan hari ini berkenaan dengan ayat yang berbelit-belit. Alkisahnya bermula ketika saya dan kawan-kawan sedang makan di kedai sambil sembang-sembang kosong berkenaan keluarga masing-masing. Salah seorang daripada kawan saya menggunakan ayat yang sukar difahami ketika sedang rancak bercerita. Ayat tersebut berbunyi seperti:
'Anak kepada adik datuk mak saya' telah meninggal dunia petang semalam di hospital Ipoh.'

Komen:
Frasa 'anak kepada adik datuk mak saya' yang digunakan sangat sukar difahami. Di sini dapat dilihat berlakunya masalah pemahaman bahasa. Ayat tersebut dalam istilah linguistiknya dikatakan ayat yang rencam. Rencam disini bermaksud ayat yang sukar difahami dan memerlukan masa yang agak lama untuk mentafsir dan memperolehi maksud yang sebenar. Tetapi dalam bahasa melayu, ayat tersebut masih betul dan dianggap gramatis.  

Isnin, 24 Januari 2011

Nukilan yang keenam


Ruangan kali ini berkenaan dengan seorang pemandu bas yang berbangsa Cina dan dia selalu mengambil penumpang yang mahu pergi ke pecan. Sekiranya terdapat ramai penumpang yang berdiri di tangga bas, dia menyuruh penumpang masuk dan memenuhi bahagian dalam. Dia berkata dalam pelat Cinanya:
Masuk dalam!!!masuk dalam!!!
Nanti jatuh…
Muka cantik kaki talak..

Komen:
Situasi ini sering saya alami terutama ketika saya mahu ke pekan. Ketika saya menaiki bas tersebut saya terdengar pemandu bas berkata demikian kepada para penumpangnya bagi menjamin keselamatan. Kalau mahu dikira, perkataan 'talak' yang digunakan adalah salah. Namun, kita sudah sedia maklum bahawa masyarakat yang berbangsa Cina sangat sukar untuk menyebut dengan betul perkataan dalam bahasa Melayu. Tetapi saya sangat kagum dengan pemandu bas tersebut yang cuba bercakap bahasa Melayu.

Jumaat, 21 Januari 2011

Nulikan yang kelima


Seterusnya nukilan berkaitan dengan seorang budak perempuan yang telah kehilangan telefon bimbitnya. Saya kebetulan pada waktu itu berjalan di belakangnya dan saya terdengar dia memaki hamun si pencuri telefon bimbitnya.
Siapa yang celaka sangat curi telefon aku???
Memang beruk r.......
Benci aku.....jenis mak bapak tak ajar...

Komen:
Pada mulanya saya agak terkejut mendengar budak perempuan itu sedang memaki-hamun. Namun, apabila saya dengar betul-betul, rupa-rupanya telefon bimbitnya telah dicuri. Mungkin pada waktu itu dia sedang marah sehingga mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya. Perempuan itu turut melibatkan mak ayah pencuri tersebut dengan mengatakan mak dan ayahnya tidak mengajar akhlak yang baik. Bagi saya, dia tidak sepatutnya melibatkan mak ayah dalam soal ini kerana setiap ibu bapa pasti tidak mahu anaknya melakukan perkara yang tidak elok.  

Khamis, 20 Januari 2011

Nukilan yang keempat

Nukilan kali ini berkenaan dengan dialek. Dialek yang saya maksudkan ialah dialek yang digunakan oleh masyarakat di negeri Kedah. Kisahnya bermula apabila seorang daripada rakan serumah saya di kolej Harun Aminurrashid meminta roti daripada saya.
Ani: Akak, saya nak sedikit roti akak.
Saya: Akak mana ada roti, biskut ada la.
Ani : Saya nak biskut tu la.
Kemudian baru saya faham bahawa roti yang dimaksudkan ialah biskut jagung kepunyaan saya.

Komen:
Setiap negeri mempunyai dialeknya yang tersendiri seperti Terengganu, Kelantan, Sarawak termasuklah negeri Kedah. Masyarakat di negeri Kedah menggunakan istilah roti untuk biskut. Menurut bahasa Melayu yang sebenar, istilah tersebut dianggap salah. Tetapi, memandangkan istilah itu  merupakan dialek, perkataan tersebut dapat diterima dan mempunyai makna daripada segi leksikografinya. 

Rabu, 19 Januari 2011

Nukilan yang ketiga

Situasi kali ini saya perhatikan di pasar malam Tanjung Malim yang diadakan setiap hari sabtu. Situasi ini berkaitan dengan seorang penjual buah-buahan di pasar tersebut. Ceritanya bermula ketika si penjual buah tersebut sedang sibuk memanggil orang ramai supaya membeli buah-buahan yang dijualnya. Penjual itu menggunakan ayat yang berbunyi 'mai beli, mai beli. Sapeluh lima ringgit, sapeluh lima ringgit untuk menarik perhatian pelanggan.

Komen:
Berdasarkan situasi yang telah saya nyatakan, saya beranggapan bahawa bahasa yang digunakan oleh penjual buah-buahan tersebut ialah bahasa pasar yang sudah biasa digunakan oleh peniaga bagi memujuk dan menarik perhatian para pembeli. Pada mulanya saya memang tidak memahami perkataan yang digunakan, namun setelah saya berfikir dan mentafsir ayat tersebut barulah saya memahami makna perkataan yang disebutkan oleh penjual itu. Sekarang, setiap kali saya mendengar penjual buah itu melaung-laungkan perkataan tersebut, saya sudah faham dan hanya tersenyum mendengarnya. 

Selasa, 18 Januari 2011

Nukilan yang kedua

Kali ini situasi berkenaan dengan seorang rakan sekuliah saya. Situasi ini berlaku sewaktu berada di dalam kelas Semantik. Dalam kelas tersebut, pensyarah menyuruh pelajar membentangkan tajuk-tajuk yang telah dibahagikan sebelumnya. Setelah itu, pensyarah membincangkan semula tajuk-tajuk yang telah dibentangkan oleh pelajar-pelajar. Pensyarah tersebut memilih pelajar untuk menghuraikan semula perkara yang telah dibentangkan beserta dengan contoh untuk membezakan penggunaan bahasa dalam masyarakat. Tiba-tiba ada seorang pelajar perempuan memberikan contoh yang dianggap kurang sopan walaupun perkataan yang disebutkan adalah betul. Perkataan yang disebutkan ialah 'kopek' dalam bahasa Kelantan sedangkan dia berasal daripada kedah.

Komen: Pada pandangan saya sebagai orang pantai Timur, perkataan tersebut tidak sesuai dijadikan contoh. Hal ini demikian kerana perkataan 'kopek' tersebut membawa unsur lucah bagi masyarakat pantai timur. Namun, 'kopek' menurut asalnya ialah mengupas. Dalam hal ini, saya tidak setuju dengan pelajar tersebut kerana masih banyak lagi contoh-contoh yang wajar boleh dikemukakan supaya tidak timbul salah sangka dan saya pasti bahawa pelajar tersebut telah mengetahui maksud perkataan tersebut mengikut pandangan masyarakat pantai Timur.  

Isnin, 17 Januari 2011

Nukilan pertama

Situasi ini berlaku sewaktu saya dengan kawan-kawan sedang menaiki lif menuju ke bilik kuliah. Sewaktu kami berada di dalam lif tersebut, ada seorang kakak yang berkemungkinan kakitangan upsi juga berada di dalam lif itu dan berdiri di belakang kami. Apabila lif tersebut berhenti di aras 'G', kakak tersebut dengan gayanya yang sombong minta laluan daripada kami untuk keluar dengan menggunakan perkataan ''excuse me''. Sedangkan waktu itu kami yang berada di hadapan pintu lif juga mahu keluar.

Komen:
Pada pendapat saya, kelakuan kakak tersebut dianggap kurang sopan. Hal ini demikian kerana, kita orang timur dan mempunyai adab yang santun. Jadi, dengan memnggunakan perkataan bahasa Inggeris untuk meminta izin keluar sangat tidak sopan. Sekiranya kakak itu minta laluan dengan sopan dalam bahasa inggeris pun saya masih menganggap ianya beradab. Tetapi dalam hal ini, kakak tersebut bercakap dengan nada yang berlagak sehingga membuatkan saya dengan kawan-kawan memandang sama sendiri. Saya berharap kakak itu berubah dan berkelakuan lebih sopan walaupun dengan orang yang tidak dikenali.

Isnin, 10 Januari 2011

Tumpang lalu...

Izinkan saya mencoretkan segala luahan hati di sini kerana inilah cara aku supaya aku tidak memendam perasaan. Saya minta maaf sekiranya ada yang terasa hati apabila membaca coretan saya. Segalanya demi kebaikan bersama.